Di Sebalik Walt Disney
Jika anda peminat siri animasi 'Mickey Mouse', pasti anda kenal dengan produksi The Walt Disney Company. Syarikat ini merupakan penerbit filem animasi yang tersohor di dunia. Tahukah anda, siapakah individu di sebalik tabir yang mula mempelopori revolusi penerbitan animasi ini?
Walter Elias Disney merupakan individu yang menjadi orang penting dalam membangunkan perusahaan tersebut. Beliau merupakan seorang penerbit filem, sutradara, juruanimasi, dan pelakon suara yang cukup dikenali di kalangan penggemar filem animasi barat.
Lelaki berasal dari Amerika Syarikat ini dilahirkan pada 5 Disember 1901. Menyingkap perjalanan hidup Walt Disney ternyata bukan mudah. Beliau mendaki satu demi satu tangga kejayaan diiringi pelbagai rintangan. Kisah kepayahan hidupnya bermula dari zaman kecil sehingga menginjak usia remaja. Daripada seorang pelukis kartun, pelakon teater, penganggur sehingga bergelar seorang usahawan berjaya.
Ketika usia 4 tahun, keluarganya berpindah ke Missouri. Di usia yang masih terlalu muda itu, Walt mula mengembangkan bakat melalui lukisan. Kebolehan ini dicungkil secara tidak sengaja apabila jiran mereka mengupah Walt melukis gambar kuda peliharaannya. Semenjak itu, hobi melukis waktu senggang menjadi tumpuan.
Semasa berusia 8 tahun, keluarga Disney berpindah pula ke Kansas. Di sini dia mula mengenali Walter Pfeiffer yang juga merupakan seorang pelakon teater yang terkenak ketika itu. Perkenalan ini telah membibitkan persahabatan di antara mereka lalu membawa budak lelaki ini ke arena seni teater. Bakat dicungkil sehingga ke peringkat persekolahan tinggi.
Semasa di sekolah tinggi, dia masih meneruskan minat dalam arena pentas teater. Di samping itu, bakatnya juga semakin menyerlah apabila diberi peluang menjadi seorang kartunis untuk akhbar sekolah. Lukisan kartun yang dilukis lebih kepada bidang politik dan berfokuskan perang dunia pertama. Situasi perang menyebabkan remaja ini tercicir dalam pelajaran. Keadaan itu menyebabkan memohon untuk menjadi tentera. Adakah dia diserap dalam unit keselamatan tersebut?
Tidak! Dia tidak diterima menjadi seorang tentera. Justeru, dia buntu memikirkan apakah kerjaya yang bersesuaian. Walaupun memiliki bakat melukis kartun, namun tiada syarikat yang mahu mengupahnya sebagai pekerja. Tidak lama selepas itu dia bertemu dengan seorang kartunis bernama Ubbe Iwerks. Selepas berbincang, mereka memutuskan untuk menubukan syarikat sendiri yang diberi nama 'Iweks-Disney Commercial Artists'.
Walaupun impian itu nampak semakin cerah namun syarikat ini tidak kekal lama. Ia dibubarkan begitu saja. Tidak puas hati dengan keadaan itu, Walt beralih arah ke Kansas City Film Ad Company (KCF). Di sini, dia menjawat jawatan sebagai pelukis pengiklanan. Bermula daripada situlah, dia memasang angan-angan untuk menjadi seorang juruanimasi.
Walt menimba ilmu secara tidak langsung dalam dunia animasi sepanjang berada di syarikat tersebut. Beliau menggunakan sepenuh peluang yang ada. Segala ilmu dikutip bagi memastikan cita-cita dan impiannya tercapai. Malah, dia berpendapat bidang animasi mempunyai kedudukan yang lebih cerah pada masa akan datang berbanding karya kartun ringkas yang dilakukan olehnya ketika itu.
Matlamat dan impian Walt hampir menjadi realiti. Beliau berjaya membuka perniagaan animasi sendiri. Pada masa itu, dia hanya dibantu oleh seorang pekerja, Fred Harman yang juga merupakan rakan sekerja semasa dia bertugas di KCF.
Filem animasi pertama, ' Newman Laugh-O Grams' berjaya melonjakkan namanya. Kejayaan filem ini membuatkan dia mampu menubuhkan sebuah studio sendiri. Pengalaman dalam perniagan, ada turun naik, untung dan rugi. Sudahnya, dia mengambil keputusan meneruskan perniagaan di kota yang tidak asing buat pembikin filem iaitu Hollywood. Di sana, dia mula menghasilan lebih banyak genre animasi antaranya, Alice Comedies, Oswald the Lucky Rabbit, Mickey Mouse, Silly Symphonies dan Snow White. Usaha kali ini membuahkan hasil, beliau berjaya mengedarkan filem-filem animasi terbitan syarikatnya dengan kerjasama beberpa buah syarikat pengedaran filem antaranya Margeret Winkler, Universal Pictures dan Columbia Pictures. Nama syarikat 'Walt Disney Productions' semakin kembang gagah.
Mungkin ada yang belum tahu, watak animasi Mickey Mouse telah menggunakan suara Walter Disney sendiri buat permulannya. Ini bererti, Walt bukan sahaja memiliki bakat dalam bidang animasi. Malah dia juga seorang pelakon suara dan memiliki intonasi yang baik.
Hari ini, Walt Disney berjaya mewujudkan fenomena baharu dalam bidang animasi. Bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah membawa gelombang bersama ke serata pelosok dunia. Segala usaha yang dilakukan telah melayakkannya mendapat beberapa anugerah dan penghargaan. Beliau telah meraih 59 pencalonan Anugerah Akademi. Malah, Walt juga menjadi individu yang paling banyak memenangi anugerah dalam pencalonan Oscar.
Kalau mahu disenarikan filem animasi yang telah dihasilkan oleh The Walt Disney Company, terlalu banyak. Tidak salah jika dikatakan kebanyakan filem animasi yang diterbitkan oleh syarikat ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat animasi seluruh dunia. Malah, syarikat ini berjaya mengaut keuntungan berlipat kali ganda untuk setiap filem yang ditayangkan.
Kisah perjalanan legenda ini berakhir pada 15 Disember 1966. Beliau menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit ketumbuhan. Sehingga hari ini, legasi Walt Disney berjaya menembusi pelbagai sektor perniagaan. Bukan sahaja dalam bidang filem animasi, malahan taman tema dan pelancongan. Jumlah asset The Walt Disney Company sebanyak US$ 194 billion (2019)
Ulasan
Catat Ulasan